top of page

DEFINISI WACANA

Kajian mengenai bidang ini memang tidak dinafikan bahawa ia semakin rancak dibincangkan dalam Negara kita. Hal ini kerana bidang ini rancak diketengahkan di Barat. Secara tidak langsung terdapat ramai tokoh di Negara kita yang bijaksana dalam bidang ini dapat dilahirkan. Antara tokoh bahasa yang telah memberikan pentakrifan mengenai bidang wacana ini ialah seperti Henry Tarigan, Harimurti Kridalaksana, Samsuri, Asmah Haji Omar, Sanat Md Nasir dan ramai lagi tokoh bahasa yang terkenal. Setiap tokoh ini telah mengemukakan pemahaman yang tersendiri berkaitan konsep wacana. Antara konsep yang dikemukakan adalah seperti berikut:

 

       Menurut Henry Tarigan (1987) dalam buku Monograf Bahasa Melayu, wacana ialah sebagai unit atau saluran linguistic yang tertinggi, terlengkap, terbesar dari skalanya, supra ayat, tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan dan bertulis.

 

        Selain itu, Asmah Haji Omar (1980) mentakrifkan wacana sebagai unit bahasa yang melebihi batas ayat. Dengan itu, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian bab, buku, siri dan sebgainya. Ianya juga memperlihatkan kesatuan dan hubungan antara butir-butir fikiran dan perkembangan akaliah yang ada di dalamnya. Dapat disimpulkan, kesatuan pemikiran dalam sesuatu ujaran merupakan perkara yang sangat dititikberatkan oleh Asmah Haji Omar dalam sesebuah wacana.

 

       Menurut Kridalaksana (1987), wacana adalah sebagai satuan bahasa terlengkap dalam hirarki gramatikkal yang tertinggi dan terbesar. Ia direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, siri kalimat, paragraf dan kata yang lengkap. Harimurti telah menggambarkan wacana sebagai kesatuan bahasa yang dapat membentuk karangan yang mengandungi ide atau pemikiran penutur atau penulis.

 

         Sanat Md Nasir (1986) pula menyatakan bahawa wacana merujuk keppada teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satu ayat yang baik secara fonik atau grafik. menurut beliau,, wacana juga boleh bermakna bidang kajian terhadap unit bahasa, menyamai maksud analisis wacana, analisis teks, linguistik teks atau linguistik wacana.  Manakala menurut Samsuri (1992), definisi wacana ialah sebagai rakaman kebahasaan yang runtut tentang peristiwa komunikasi. Komunikasi itu dapat menggunakan bahasa lisan atau tulisan.

 

          Daripada pentakrifan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa wacana ialah unit tatabahasa atau linguistik tertinggi yang melangkaui batas ayat. Selain itu juha wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap dalam hierarki gramatikal yang merupakan gramatikal yang tertinggi atau yang terbesar.

 

sumber

Mohd Rashid. Md. Idris (2004). Analisis Wacana Cerpen dari Perspektif Struktur

            Maklumat dan Struktur Tema. Kuala Lumpur: ACH Communications. Sdn. Bhd.

 

Mohd Rasyid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul dan Adenan Ayob. (2012).

           Tatabahasa wacana. Tanjung malim Perak: Emeritus Publications.

bottom of page