
analisis wacana
SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI
ASPEK TATABAHASA WACANA
Terdapat pelbagai pendapat tokoh yang menyatakan ciri-ciri wacana. Menurut pendapat Nik Safiah Karim (32008), dalam tatabahasa Dewan membahagikan wacana kepada dua iaitu runtutan dan tautan. Tambah beliau lagi, ciri wacana lain adalah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar dan pembaca, maklumat terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks. Mohd Rasyid Md Idris (2004) pula membahagikan ciri wacana kepada koheran, kohesi, tujuan maklumat, diterima, hubungan, andaian dan inferen, gaya dan maklumat tidak berlawan.
TAUTAN
Halliday dan Hassan dalam Mohd Rasyid Md Idris (2004) mendefinisikan tautan sebagai ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu tautan ayat sehingga melahirkan sesuatu teks yang padu atau memperlihatkan tautannya. Selain itu, tautan juga bermaksud kesepaduan dalam penulisan. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Dengan kata lain wujudnya pertalian natara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi.
RUNTUTAN
Runtutan adalah sebagai perantaraan gagasan idea yang menunjukkan sesuatu idea atau fikiran dijalin dalam sebuah cerita atau peristiwa untuk membentuk teks. Peristiwa atau cerita yang disampaikan mempunyai makna. Makna adalah untuk menyampaikan bahasa atau tanda-tanda lain untuk mewakili dan menyampaiakan pengetahuan yang sebenarnya disampaikan oleh ujaran yang muncul dalam sesuatu teks. Ringkasannya, runtutan adalah gagasan idea yang terbentuk yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu dan idea tersebut mengandungi makna yang ingin disampaiakan.
Contoh adalah seperti berikut:
"Penyakit sindrom kurang daya tahan atau AIDS bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju tetapi masalah ini masih tidak dapat di atas".
Berdasrkan ayat diatas, dapat dilihat kesinambungan idea, iaitu menceritakan mengenai penyakit AIDS melalui perkataan AIDS, gejala, penyakit dan masalah ini.
TUJUAN
Lazimnya, wacana adalah adalah berhubung kait dengan makna, iaitu sama ada yang dibawa oleh ayat, perenggan ataupun keseluruhan teks. Kedua-dua adalah berkaitan dengan tahap tujuan dan penerimaan semasa komunikasi berlaku.
Tahap tujuan akan menilai tahap sesebuah teks menepati tujuan penutur ataupun penulis. Seseorang penulis mahupun penutur seharusnya mempunyai tujuan tertentu dalam membentuk sesebuah wacana untuk disampaikan kepada pembaca atau pendengar. Contoh ayat:
" Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mempunyai semangat cintakan tanah air. Salah satu caranya ialah dengan mengibarkan jalur pada Hari Kemerdekaan dan dikekalkan semangat itu sampai bila-bila".
Dalam contoh di atas, penulis ingin menyampaikan tujuannya kepada pembaca agar masyarakat cintakan tanah air dengan mengibarkan jalur gemilang ketika menjelang Hari Kemerdekaan. Tujuan tersebut dapat disampaikan oleh penulis apabila penulis membina ayat yang mengandungi struktur maklumat yang terdiri daripada maklumat lama dan baru.
PENERIMAAN
Penerimaan merupakan salah satu tahap yang terdapat dalam runtutun. Penerimaan melibatkan pendengar atau pembaca. Penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan juga pemahaman pendengar ataupun pembaca. Tahap penerimaan seseorang akan tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang disampaikan. Tahap penerimaan adalah rendah sekiranya wacana tersebut tidak difahami oleh pendengar atau pembaca.
Contoh ayat:
"Pokok bebaru bulu memiliki daun jenis ringkas, berbentuk jantung, berbulu putih dan berhampiran lai daun. Permukaan atas daun adalah licin, permukaan bawahnya pula berbulu halus berwarna putih. Bunga semasa kembang berwarna kuning cerah dengan mata merah. Bunga layu yang gugur akan bertukar menjadi merah jambu. Buah bebaru bulu juga berbentuk kubah, dikelilingi cawan kaliks. Daunnya pula kering mengandungi bahan berkanji dan juga bahan nitrogen.
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tersebut turut dianggap sebagai sebuah wacana kerana membawa makna. Hal ini disebabkan berdasarkan contoh ayat tersebut, penulis ingin menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca mengenai sesuatu perkara, iaitu berkaitan dengan pokok bebaru".
Tujuan seseorang penulis menulis teks tersebut adalah bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai pokok bebaru kepada pembaca dengan menggunakan laras bahasa sains. Buktinya penulis menggunakan perkataan caawan kaliks, bahan berkanji dan juga bahan nitrogen.
STRUKTUR MAKLUMAT
Struktur maklumat merupakan unit terkecil dalam struktur wacana dan berfungsi sebagai unit lokal yang kecil pada peringkat frasa atau klausa. Struktur maklumat juga sebagai sumber kepada penutur ataupun penulis untuk memberitahu pendengar atau pembaca tentang status maklumat. Sanat Md. Nasir (Mohd Rashid Md Idris,2007) mendefinisikan struktur maklumat sebagai suatu struktur yang membina unit maklumat. Unit maklumat yang dimaksudkan ini ialah unit struktural yang terdiri daripada maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama adalah bersifat opsional kehadirannya. Pengaliran maklumat akan berlaku apabila wujudnya perubahan status idea penutur dan pendengar tentang sesuatu objek, keadaan atau kejadian semasa menggunakan bahasa atau memahaminya. Status idea yang disebut disini menjelaskan kepada kita berupa maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama merupakan yang telah diketahui dan ditandai dengan nada tinggi, manakala maklumat baru pula sebaliknya tetapi juga turut ditandai dengan nada tinggi.
Contoh ayat maklumat baru:
1." Puan Rita mengajar di sekolah menengah. Sekolah itu sekolah berasrama penuh".
Sekolah itu dalam ayat di atas merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Manakala sekolah berasrama penuh adalah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.
STRUKTUR TEMA
Struktur tema merupakan salah satu struktur yang bercirikan amanat. Menurut Sanat Md.Nasir, struktur tema dilihat sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat. Klausa sebagai struktur amanat terdiri daripada tema dan rema. Tema merujuk kepada kategori formal sebagai unsur pada kedudukan awal klausa, titik mula klausa sebagai amanat. Manakala rema pula adalah yang selebihnya, iaitu bahagian yang mengembangkan ataupun menerangkan tentang tema. Secara ringkasnya, struktur tema mempunyai dua bahagian iaitu rema dan tema. Rumus di bawah menggambarkan kenyataan ini:
ST ____________ T + R
Contohnya:
1. Syuhada pergi ke perpustakaan
[Syuhada] [pergi ke perpustakaan.]
T(KN) R
INTERTEKS
Interteks adalah amat bergantung dengan wacana lain. Melalui interteks, wacana akan mudah difahami oleh pembaca atau pendengar. Hal ini demikian kerana, Interteks adalah pengetahuan sedia ada pembaca mahupun pendengar mengenai sesuatu perkara yang diperkatakan. Menurut Asmah Haji Omar (2000) mendefinisikan interteks ialah sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana lain yang memainkan peranan penting bagi membantu kefahaman seseorang atau khalayak tentang wacana yang sedang dibaca atau didengarinya. Hal ini bermaksud bahawa kefahaman seseorang atau khalayak terhadap sesebuah wacana bergantung pada pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarinya. Selain itu, Menurut Idris Aman (2010) dalam bukunya iaitu Analisis Wacana, sesuatu wacana atau teks lazimnya tercipta atau terbina daripada keterjalinan wacana atau teks terdahulu. Ia membawa maksud bahawa sesuatu wacana bukanlah berciri baru secara keseluruhan, tetapi amat berkait rapat dengan sejarah.
Berikut adalah contoh interteks dalam teks:
"Sewaktu dikenakan hukuman penjara dahulu, Dato’Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan sesuatu yang sukar difahami ketika itu. Beliau berkata” kerajaan boleh memenjara jasad beliau tetapi tidak boleh memenjara semangat dan perjuangan beliau”.
Dalam contoh tersebut, dapat dilihat pewacana telah memetik kata-kata daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipenjarakan suatu ketika dahulu. Pewacana menggunakan kata-kata tersebut bagi menguatkan lagi hujahan yang diberikan. Secara tidak langsung, hujahan yang disampaikan oleh pewacana tersebut akan mudah difahami oleh pembaca atau pendengar tentang apa yang pewacana ingin sampaikan iaitu tentang semangat kepimpinan yang dimiliki oleh Dato’Seri Anwar Ibrahim.
Berdasarkan contoh di atas dapat menunjukkan bahawa antara teks dengan teks haruslah mempunyai pertalian iaitu dalam sesuatu ayat atau perenggan mempunyai maklumat yang akan diperkatakan dalam perenggan berikutnya. Contoh mudah seperti di bawah:
-
Kereta itu berwarna biru. Aisyah memandu kereta itu.
Contoh ayat di atas menunjukkan ciri interteks. Melalui ayat tersebut kita dapat mengetahui bahawa Aisyah memandu kereta bewarna biru melalui pernyataan ayat pertama. Oleh itu, dengan interteks, pembaca atau pendengar akan mengetahui tujuan penulis menulis sesuatu perkara berdasarkan pembacaannya terhadap maklumat sebelumnya.